Monday, August 2, 2010

Mengenal Allah

MENGENAL ALLAH

Fadilat yang sebenar terletak pada usaha mencari pengertian dan kefahaman yang mendalam pada setiap nama-nama Allah yang indah itu.  Dengan usaha sedemikian akan membawa seseorang itu kepada  tingkatan ma`rifat yang lebih mendalam terhadap sifat-sifat Allah عز وجل justeru semakin mendalamlah pula meresapnya kecintaan seseorang hamba kepada Allah عز وجل,semakin kukuhlah keyakinan dan keimanan, dan tidak syak lagi akan menghampirkanknya kepada Allah عز وجل sadekat-dekatnya.

Allah عز وجل tidak memperkenalkan zatNya kepada kita kerana pintu untuk itu tertutup untuk kita. Walau bagaimanapun Allah عز وجل memperkenalkan nama-namaNya yang menunjukkan sifat-sifatNya Yang Maha Sempurna. Dari itu mengenal Allah عز وجل melalui nama-nama dan sifat-sifatNya itu merupakan satu-satunya pintu yang terbuka luas kepada kita, semakin jauh kita memikirkan  jangkauan dan kesan-kesan dari setiap sifat-sifatNya semakin tinggilah ma`rifat kita kepada Allah عز وجل dan disinilah terletaknya bidang perlumbaan orang-orang salik yang mencari jalan ma`rifat  kepada Allah عز وجل.

Rebuti kesempatan dimana dua pintu yang luas untuk mengenal Allah disediakan. 
  • Pintu pertama  dimana kita seharusnya berfikir dan meneliti semua ayat-ayat Al-Quran dan memahami Allah عز وجل dan RasulNya secara khusus.
  • Pintu kedua dimana kita seharusnya berfikir dan meneliti bukti-bukti dari sifat-sifat Allah عز وجل yang terbentang dihadapan mata dengan merenungi tanda-tanda kebijaksanaanNya, kekuasaanNya, kehalusanNya, kemudahanNya dan keadilanNya terhadap sekelian makhluk.
Dengan yang demikian dapat menjadikan seseorang itu  `arif terhadap perintah-perintah dan larangan  Allah عز وجل , `arif terhadap qadha dan qadarNya, `arif terhadap nama-nama dan sifat-sifatNya `arif terhadap hukum-hukumnya Syara` dan terhadap undang-undang `alam.

Kesempurnaan dan kebahagian seseorang adalah bergantung kepada usahanya untuk berakhlak dengan sifat-sifat Allah عز وجل dan menghiasi diri dengan pengertian sifat-sifat dan nama-nama Allah عز وجل .Tetapi bukan untuk menyerupai sifat-sifat Allah عز وجل , kerana pada dasarnya tiada siapapun berhak memakai sifat-sifat Allah عز وجل melainkan Allah sahaja.  Yang pasti kita berusaha menghiaskan diri dengan makna sifat-sifat Allah Yang Maha Mulia. Misalnya apabila kita mempelajari sifat-sifat keadilan  dan kesabaran Allah عز وجل , maka hendaklah kita bangkitkan dalam hati keinginan dan keazaman untuk menjadi seseorang hamba yang adil   dan sabar, demikian juga kepada lain-lain sifatnya.                                                                                                                                                            

No comments:

Post a Comment